Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan

Pejabat Setiausaha NS - Tkt 4, Blok D, Wisma Negeri, 70503 Seremban, NSDK
Tel : 06-765 9900, Fax: 06-761 7386

Portal Rasmi Majlis Daerah Jempol

Ibu Pejabat, Pejabat Majlis Daerah Jempol, 72120 Bandar Seri Jempol, NSDK
Telefon : 06-4581233, Faks: 06-4585800

Laman Facebook Rasmi Jempol Di Hati

Memaparkan Info, Isu-Isu Semasa Dan Laman Komuniti Masyarakat Jempol
Jangan Lupa Singgah Dan 'Like' Laman Facebook Kami

Monday 17 November 2014

Menjadi Janda Kerana Tidak Balas Mesej Whatsapp

Arab Saudi: Seorang suami dari Arab Saudi dilaporkan menceraikan isterinya kerana mesej WhatsApp tidak dibalas.

Menurut Gulf News, isteri dikatakan langsung tidak membalas atau memberi respon terhadap mesej dihantar suaminya walaupun dia dilihat sentiasa online di aplikasi perbualan itu.

Risau sesuatu berlaku, si suami bergegas balik dari pejabat namun mendapati si isteri sedang enak menonton televisyen. Apabila ditanya mengapa tidak membalas mesej, isterinya mengaku terlalu sibuk chatting dengan rakan-rakan dan akan membalasnya kemudian.

Tanpa teragak-agak suami tersebut terus melafazkan talak ketika itu juga.

Suami wanita tersebut yang berusia dalam lingkungan 30-an, dikatakan sudah lama berang dengan perbuatan isterinya yang gemar menghabiskan masa dengan ‘bermain’ telefon bimbit.

Perbuatannya yang tidak dapat berenggang dengan telefon juga didakwa telah membuat wanita tersebut lalai dalam menguruskan rumah tangga dan anak.

Tak tahan dengan situasi tersebut, si suami akhirnya menjatuhkan talak kepada isteri yang sudah dinikahinya selama dua tahun. Sumber

Thursday 13 November 2014

OKU Teruk Dipukul Hanya Kerana Disyaki Mencuri

KOTA BHARU: Hati seorang ibu luluh dan sedih selepas anaknya dipukul oleh orang ramai kerana disyaki mencuri di kampung teluk di sini, malam Rabu.

Noraini Hassan, berkata beliau diberitahu kejadian itu pada pukul 10 malam oleh seorang jirannya dan terkejut kerana anaknya Mohd Shufri Mat Said yang mengalami kecacatan di bahagian kiri termasuk kaki dan tangan dipukul sehingga mendapatkan kecederaan serius.

Noraini berkata, beliau terkilan kerana anaknya hanya disyaki mencuri tetapi orang ramai terus memukul tanpa belah ehsan.

Beliau menjelaskan, sekiranya anaknya terbukti bersalah sepatutnya anaknya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan bukannya mengambil tindakan tanpa mengikut undang-undang.

Beliau ditemui ketika membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan meminta pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan terperinci serta mengambil tindakan terhadap mereka yang memukul anaknya.

Katanya sebagai orang Islam, orang kampung dan suspek sepatutnya tidak mengambil tindakan sendiri bahkan mereka perlu melihat dan mendapatkan bukti.

Katanya dengan kecacatan yang dialami anaknya, mustahil beliau boleh melakukan jenayah tersebut.

Sambil menitiskan air mata, ibu kepada lima orang anak ini merayu supaya orang ramai tidak melakukan perbuatan sama terhadap orang lain yang senasib dengannya.

Beliau menjelaskan, anaknya mengalami kecacatan kerana terlibat dalam satu kemalangan beberapa tahun lalu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Rohami Mat Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kejadian memukul suspek yang didapati mencuri di Kelantan oleh orang ramai bukannya perkara baru.

Pada 5 Nov lepas, seorang remaja Tingkatan 3 di pukul dan dibogelkan di hadapan sebuah masjid kerana dipercayai ingin mencuri sebuah motosikal.

Mufti Kelantan Datuk Muhamad Shukri Muhamad turut menyelar tindakan kariah Masjid Pauh Lima, Binjai, yang bertindak membogelkan seorang pelajar tersebut.

Sebelum itu, seorang remaja belasan tahun juga dipukul dan dipaksa berjalan itik ke balai polis juga kerana kes yang sama.

Pada Disember 2010, dua suspek yang disyaki mencuri motosikal dibelasah hingga maut oleh penduduk kampung kerana mencuri motosikal. Sumber

Friday 7 November 2014

Lelaki Berpakaian Wanita : JUMAAT YANG MALANG BAGI ISLAM DI MALAYSIA

HARI JUMAAT yang berkat ini dicemari satu insiden yang memalukan umat Islam dan syariat Islam keseluruhannya. Mengejutkan apabila keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan lelaki Islam berpakaian wanita sekaligus Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah terbatal dengan alasan bercanggah dengan perlembagaan negara.

Lebih malang lagi apabila tiga Hakim yang menghakimi perbicaraan rayuan tersebut terdiri DUA orang hakim Melayu Islam. Apakah pertimbangan hakim beragama Islam ini hingga boleh memalukan umat Islam dan syariat Allah S.W.T.

Hari ini kemenangan besar bagi kaum yang dilaknati Allah di negara ini. Ini bukan kes terpencil tetapi "a new beggining and never ends" bagi mereka. Tidak mustahil akan ada lagi tuntutan-tuntutan kaum yang dilaknati Allah ini akan membawa kes hak asasi dan kebebasan berkaitan kaum songsang init.

Benarlah kata orang, yang meruntuhkan Islam itu bukanlah golongan kafir tetapi penganutnya sendiri. Semoga Allah memberkati dan melindungi anak-anak keluarga Islam dan bumi Malaysia yang tercinta ini. - Apple Biru

Mahkamah Isytihar Lelaki Berpakaian Wanita Di Negeri Sembilan Bukan Jenayah
PUTRAJAYA, 7 Nov - Mahkamah Rayuan, dalam satu keputusan penting, hari ini mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Beliau berkata keinginan untuk berpakaian seperti wanita dan diiktiraf sebagai seorang wanita dikenal pasti sebagai sebahagian masalah dari segi perubatan dan tiada rawatan farmakologi atau terapi psikologi yang telah dibuktikan secara saintifik bagi mengatasi masalah seperti itu.

Hakim Hishamudin berkata penghidap GID akan terus hidup dalam keadaan tidak pasti, sengsara dan rasa malu sekiranya Seksyen 66 masih dikuatkuasakan, dan menurutnya ketetapan itu telah mewujudkan keadaan tidak selamat dan terdedah kepada penghinaan dalam kehidupan lelaki Islam yang menghidap GID.

"Undang-undang sedia ada menghukum golongan transeksual yang mempamerkan gender mereka, mencemarkan maruah dan nilai individu yang menghidap GID dalam masyarakat kita. Seksyen 66 secara langusng menjejaskan hak mereka untuk hidup secara bermaruah seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sekiranya nilai mereka sebagai anggota masyarakat diketepikan," katanya.

Hakim Hishamudin berkata Seksyen 66 Enakmen Negeri Sembilan, yang menghukum lelaki Islam berpakaian atau berkelakuan seperti wanita di tempat awam, tidak memberi pengecualian kepada penghidap GID tetapi meminggirkan mereka (penghidap GID) dan secara tidak adil membolehkan mereka diambil tindakan undang-undang.

Situasi adalah berbeza bagi lelaki Islam yang menghidap GID berbanding dengan lelaki Islam normal, katanya dan menurutnya berikutan perbezaan itu, mereka tidak wajar dilayani sama seperti lelaki Islam normal.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Aziah Ali dan Hakim Datuk Lim Yee Lan, sebulat suara membenarkan rayuan dikemukakan tiga jurumekap pengantin, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, untuk mengisytiharkan Seksyen 66 adalah tidak sah di sisi perlembagaan dan undang-undang tidak sah.

Mahkamah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan ketiga-tiga lelaki Islam itu bagi diisytiharkan Seksyen 66 adalah tidak sah di sisi perlembagaan.

Mereka mendakwa Seksyen 66 tidak terpakai terhadap mereka yang merupakan penghidap GID dan mereka telah menyerahkan laporan perubatan daripada Hospital Kuala Lumpur yang mengesahkan mereka menghidap masalah itu iaitu mereka mempunyai kecenderungan untuk berpakaian seperti wanita kerana mereka berpendapat naluri dan identiti mereka sebenarnya adalah wanita.

Hakim Hishamudin berkata Seksyen 66 menafikan hak penghidap GID terhadap kebebasan bergerak kerana mereka tidak boleh keluar daripada rumah mereka dan bergerak bebas di Negeri Sembilan tanpa terdedah kepada risiko ditahan dan dihukum mengikut seksyen itu.

Beliau berkata seksyen itu juga menjejaskan hak penghidap GID terhadap kebebasan bersuara kerana mereka dilarang memakai pakaian dan jenis pakaian pilihan mereka.

Hakim Hishamudin berkata penghakiman Mahkamah Tinggi bahawa golongan transeksual yang memakai pakaian wanita terdorong untuk manjalin hubungan homoseksual, yang menjadi punca HIV, adalah tidak disokong dan dibuktikan dan hanya berdasarkan pandangan peribadi dan prejudis.

Beliau berkata alasan hakim Mahkamah Tinggi itu adalah amat tidak adil kepada perayu dan lelaki Islam lain yang menghidap GID, dan menurutnya kes itu tidak ada kaitan langsung dengan homoseksual dan kes itu semata-mata tentang lelaki Islam yang menghidap GID.

Katanya mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujahan Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan Iskandar Ali Dewa yang berkata ketiga-tiga perayu menghidap masalah mental.

"Ini tidak masuk akal dan satu penghinaan untuk mencadangkan bahawa perayu-perayu dan transgender yang lain adalah individu yang menghidap masalah mental," katanya.

Hakim Hishamudin berkata hujahan Aston Paiva, peguam yang mewakili ketiga-tiga perayu adalah tepat apabila menyatakan kewujudan Perlembagaan Persekutuan membolehkan golongan minoriti mendapat pembelaan dan tidak menjadi mangsa diktator golongan majoriti.
BERNAMA

Thursday 6 November 2014

Siapakah Sebenarnya Seorang Pembuli?

Pembuli Sebenarnya Orang Yang Lemah - Pakar Psikologi

Pembuli sebenarnya orang yang lemah, walaupun secara fizikal mereka kuat, menurut Presiden Persatuan Psikologi Malaysia Prof Madya Dr Rozmi Ismail.

Beliau berkata ini kerana pembuli tidak dapat mengurus emosi dan fizikal mereka dengan sebaiknya sehingga mereka melepaskannya kepada mangsa buli.

"Kepuasan wujud apabila dapat melihat orang lain menerima kesan daripada tindakan mereka seperti menangis, menjerit, meminta tolong, cedera dimalukan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Akhbar melaporkan kes terbaru buli di sebuah asrama berdasarkan rakaman video yang tersebar luas dalam laman sosial Facebook awal minggu ini.

Berikutan itu semalam Maktab Mahmud Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah yang dikatakan tempat kejadian buli itu berlaku, menafikan pelajarnya terlibat.

Klip video berdurasi lebih empat minit itu menunjukkan sembilan pelajar dipukul beramai-ramai oleh pelajar lain di dalam sebuah bilik asrama dan menarik perhatian pengguna laman sosial yang mengutuk perbuatan berkenaan.

Menurut Rozmi, dari sudut psikologi masalah buli berlaku apabila wujudnya kumpulan superior dan inferior.

"Kumpulan superior ialah kumpulan yang telah diakui dan dikenali pengaruh mereka, dan dianggap berkuasa serta mempunyai autoriti dalam kumpulan," katanya.

Beliau berkata mereka yang termasuk dalam golongan ini tidak dipersoalkan tindakan mereka, dan berbeza sekali dengan kumpulan inferior.

Dalam masa yang sama kumpulan ini melihat kumpulan minoriti (inferior) ini akan mengikut dan menghormati arahan mereka.

"Kumpulan inferior telah sedia faham bahawa mereka mesti menurut segala arahan tanpa melawan kerana merasakan bahawa mereka ini lemah dan bimbang akan memburukkan lagi keadaan jika melawan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru (Mabim) Prof Madya Dr Muhd Ali Hassan menyifatkan jika wujud sifat kekeluargaan dalam kalangan pelajar, masalah buli tidak akan wujud.

"Pelajar adalah satu keluarga besar, persaudaraan harus dipupuk dalam kalangan mereka bagi memastikan mereka saling menghormati antara satu sama lain," katanya.

Justeru beliau berkata pihak sekolah perlu memperbanyakkan aktiviti yang boleh memupuk sifat kasih sayang antara pelajar.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Terengganu, Ghazali Taib berkata penekanan harus diberikan kepada aktiviti yang padat dan teratur bagi memastikan pelajar di asrama sentiasa mengisi masa lapang mereka dengan baik.

Langkah ini boleh mengelakkan risiko berlaku kes buli, katanya.

"Semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan pelajar asrama sentiasa selesa dan hidup harmoni selaras matlamat mereka tinggal di asrama untuk memberi fokus terhadap pelajaran mereka," kata Ghazali. - BERNAMA

Tuesday 4 November 2014

Wanita Mengandung Anak Kembar Maut Nahas di Bandar Seri Jempol

BANDAR SERI JEMPOL: Seorang wanita yang mengandung anak kembar dua maut apabila kereta yang dipandunya terbabas di Jalan Besar FELDA Palong 14,15 dan 16 di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu, Siti Nurnazira Amran, 23, dari FELDA Palong 13 yang kandungannya berusia tujuh bulan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang keperluan untuk majlis perkahwinan abangnya di pekan Bahau dekat sini.

Jurucakap polis berkata, kereta Proton Wira yang mangsa pandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan. Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan FELDA Palong 9, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Katanya, anak lelaki mangsa berusia sembilan bulan, abang dan bakal kakak ipar yang turut berada dalam kereta hanya mengalami cedera ringan. Sumber