Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan

Pejabat Setiausaha NS - Tkt 4, Blok D, Wisma Negeri, 70503 Seremban, NSDK
Tel : 06-765 9900, Fax: 06-761 7386

Portal Rasmi Majlis Daerah Jempol

Ibu Pejabat, Pejabat Majlis Daerah Jempol, 72120 Bandar Seri Jempol, NSDK
Telefon : 06-4581233, Faks: 06-4585800

Laman Facebook Rasmi Jempol Di Hati

Memaparkan Info, Isu-Isu Semasa Dan Laman Komuniti Masyarakat Jempol
Jangan Lupa Singgah Dan 'Like' Laman Facebook Kami

Friday 27 June 2014

#MH370 : Dipercayai Mati Sesak Nafas Sebelum Hilang

SYDNEY 27 Jun - Semua penumpang dan krew pesawat penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas dan pesawat berkenaan dipandu melalui pemanduan automatik sebelum hilang di selatan Lautan Hindi, mengikut laporan terbaharu pihak berkuasa Australia yang disiarkan hari ini.

Dalam laporan setebal 55 muka surat itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Australia menjelaskan, kesimpulan tersebut dicapai selepas pasukan penyiasat membuat perbezaan senario dalam pesawat berbanding dengan insiden-insiden sebelum ini namun tiada bukti baharu dikemukakan berhubung keadaan dalam pesawat tersebut.

Menurut laporan tersebut, kegagalan komunikasi dan corak penerbangan stabil yang menyerupai cara penerbangan pemanduan automatik mengukuhkan lagi dakwaan bahawa semua penumpang dan krew telah meninggal dunia lebih awal, dipercayai akibat sesak nafas.

Selain itu jelasnya, beberapa petunjuk luar biasa yang ditinggalkan sepanjang laluan penerbangan pesawat berkenaan dan tiada campur tangan juruterbang juga diambil kira sebagai bukti mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Berdasarkan penilaian tersebut, situasi terakhir yang menunjukkan tiada maklum balas daripada krew atau kejadian kekurangan oksigen dilihat sebagai bukti terbaik untuk menjelaskan senario yang berlaku pada tempoh akhir penerbangan pesawat MH370 ketika menuju ke arah selatan (Lautan Hindi)," jelas lapor itu tanpa menjelaskan punca semua penumpang dan krew sesak nafas.

Bagaimanapun laporan tersebut menjelaskan bahawa kesimpulan berkenaan dibuat bagi mengecilkan skop pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss mengumumkan lokasi pencarian baharu pesawat MH370 bermula Ogos depan di kawasan yang jauh ke selatan Lautan Hindi, melibatkan kawasan seluas 60,000 kilometer persegi.

Pencarian di kawasan tersebut yang dikenali sebagai ‘arka ketujuh’ (lokasi terakhir pesawat berkomunikasi dengan satelit) akan dimuktamadkan dalam tempoh setahun. - AFP

Orang Asli Diberi Perhatian

JEMPOL 27 Jun – Keperluan masyarakat Orang Asli di Kampung Batu Peti dekat Rompin, dekat sini terus diberi perhatian apabila kerajaan akan melaksanakan projek pembinaan balai raya bagi penduduk kawasan berkenaan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru negeri, L. Manickam berkata, selain projek pembinaan balai raya kerajaan juga telah melaksanakan kerja-kerja membaiki jalan rosak serta bercadang membina jambatan gantung.

“Untuk balai raya ia adalah satu projek untuk menggantikan dewan lama di kampung ini yang sudah rosak. Projek bernilai RM117,000 mendapat peruntukan daripada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Balai raya ini kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada bulan hadapan. Apabila siap nanti ia akan memudahkan penduduk untuk mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Buat masa ini penduduk terpaksa mengadakan aktiviti di tanah lapang berhampiran kawasan tabika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Porak-E di Tabika Kemas Kampung Orang Asli Batu Peti, kelmarin.

Manickam berkata, pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan kemudahan jambatan gantung untuk kegunaan penduduk ke kebun mereka di seberang Sungai Muar dekat sini.
“Jambatan gantung itu hanya boleh digunakan untuk kenderaan ringan seperti motosikal dan basikal sahaja. Ketika ini penduduk terpaksa menempuh pekan Rompin untuk ke kebun dan mengambil masa lebih setengah jam.

“Sebelum ini penduduk membina sendiri jambatan gantung menggunakan bahan terbuang dan kini ia tidak lagi sesuai digunakan kerana membahayakan. Sekiranya projek jambatan ini dapat dibina maka penduduk boleh sampai ke kebun dalam jangka masa 10 minit,” katanya lagi.

Manickam berkata, pihaknya telah menaik taraf jalan raya di kampung tersebut dan sekali gus menyelesaikan masalah laluan yang berlubang. Sumber

Piala Dunia - Suarez Digantung 9 Perlawanan Serta-Merta

FIFA mengesahkan bahawa penyerang Uruguay Luis Suarez dikenakan pergantungan serta merta sebanyak sembilan perlawanan untuk Uruguay susulan kes gigitannya baru-baru ini. Pemain Liverpool tersebut juga tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti berkaitan dengan bola sepak selama empat bulan termasuk bersama dengan kelab.

Suarez menjaringkan dua gol dalam edisi Piala Dunia tahun ini, dan juga beraksi selama 90 minit dalam kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Itali di mana dia bertindak menggigit pertahanan pihak lawan, Giorgio Chiellini.


Dengan itu dia tidak akan dapat diturunkan lagi bagi baki jadual Piala Dunia 2014. Uruguay dijadualkan akan bertemu Colombia pada awal pagi Ahad ini di peringkat 16 pasukan terbaik.

Dan ini bukan merupakan kali pertama pemain berumur 27-tahun tersebut dikenakan hukuman berat kerana mengigit pihak lawan.

Pada tahun 2010, Suarez mengigit pemain tengah PSV Eindhoven Otman Bakkal semasa mewakili Ajax, dan dalam aksi Liga Perdana Inggeris tahun lepas, pertahanan Chelsea Branislav Ivanovic pula menjadi mangsa kepada sikap keterlaluannya di atas padang.-AstroArena

Thursday 26 June 2014

Saya Ingin Hidup Dan Mati Bersama Suamiku - Mona Fandey

Nota Terakhir Mona Fandey (Pengalaman Wartawan)

AKU mulakan tulisan ini dengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Mengasihani. Hatiku kian sebak hanya kerana Allah Maha Esa Maha Mengetahui. Kenapa? Mengapa? Kerana Allah SWT yang menentukan segala-galanya.

Sebelum ini aku tidak pernah mengerti apakah yang dikatakan bahagia. Aku bertanya kepada teman. Ada yang mendefinisinya sebagai suatu keadaan perasaan. Ya, gembira satu perasaan.

Ada pula orang kata, gembira tidak mengisi atau menepati makna bahagia. Namun, aku pasti ia suatu keluarbiasaan. Tetapi, dapatkah merasainya?

Akhirnya aku menemuinya, aku berasa sungguh bahagia, tiada kata-kata untuk diungkapkan. Bahagia ini datang menerpa jiwaku dengan tiba-tiba. Saat itu aku di dalam Masjid Nabawi di Madinah.

Pertama kali aku melangkah masuk ke masjid nan suci itu. Masjid menempatkan makam kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW, junjungan kita. (Ketika itu aku mengerjakan umrah pada 2008. Tahun berikutnya, dengan izin Allah SWT aku dapat menunaikan haji, Alhamdulillah).

Aku masih ingat lagi saat-saat itu. Pada masa itu, aku sebak, sedih bercampur. Ya, rasa ‘bahagia’ atau rasa yang menerjah kalbu. Dengan air mata, aku menadah tangan mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Ya Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, aku datang dari jauh dan mendirikan solat di Masjid Nabawi.

Di Madinah yang menyaksikan pengorbanan dan perjuangan junjungan besar kita untuk menyelamatkan kita daripada kejahilan. Aku berasa hampir dengan-Mu, Ya Allah. Di benakku, aku menghitung hari seterusnya berpeluang mendirikan solat di Masjidil Haram di Makkah pula, dengan izin-Nya. Pasti perasaan bahagia ini berulang-ulang selama aku di tanah suci.

Sebagai manusia yang mempunyai perasaan, pengalaman duniawi menjamah jiwaku. Menjalankan tugas sebagai wartawan mahkamah menemukanku dengan hamba-hamba-Nya yang tersisih daripada masyarakat. Setiap hari aku melihat pemandangan yang akan mengecutkan jiwa kecil.

Saban hari aku melihat tertuduh diberkas dan diganding untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka akan mendapat hukuman kerana melanggar undang-undang jenayah dan sivil.

Di tanah suci, ingatanku kembali kepada mereka, terutama sepasang suami isteri. Dan, hati terdetik, jikalau pasangan suami isteri itu tahu kebesaran Allah. Sedarkah mereka akibat perbuatan yang akan menerima azab Allah kelak. Azab-azab yang diulang-ulang dalam firman Allah dan hadis Rasul. Hatiku mengeluh, sekiranya mereka mengingati Allah SWT semua ini tidak akan berlaku.

Tetapi, ustaz pernah mengajar, tidak perlu kata ‘kalaulah’ kerana semua yang berlaku itu satu ketentuan Allah SWT. Aku menghadiahkan al-Fatihah kepada kedua-duanya. Ya Allah ampunkan mereka berdua, doaku untuk mereka di masjid suci itu. Umum tahu siapakah pasangan yang meninggalkan nama.

Nama sebagaimana? Nama yang dirujuk sebagai kes-kes jenayah dalam pengajian bidang guaman? Rentetan hidup pasangan ini menjadi bualan waktu itu. Mereka pergi sebagai manusia yang dikenali kerana jenayah dilakukan. Tetapi adakah orang yang terfikir untuk ambil kisah mengapa jenayah sedemikian terjadi?

 Mengimbas pengalaman lama, lebih lima bulan aku dan rakan-rakan wartawan membuat liputan kes perbicaraan pasangan ini di Mahkamah Tinggi Temerloh, sekitar tahun 1994/95. Isterinya mesra dengan nama Mona Fandey. Suaminya, Mohd. Affandi Abdul Rahman. Kedua-duanya menyara hidup dengan mendakwa sebagai bomoh.

Mereka diberkas dan dibicarakan atas tuduhan membunuh Allahyarham Datuk Mazlan Idris yang pada masa itu wakil rakyat negeri Pahang. Satu pembunuhan yang teramat kejam.

Aku tidak ingin mengungkit kembali fakta yang dibentangkan dalam kes mereka. Hanya untuk membawa pembaca mengenangkan arwah Mona Fandey. Dia seorang wanita ayu. Mona Fandey seperti wanita lain juga. Dia ada impian untuk berjaya dalam hidup. Salah satu impiannya ingin jadi penyanyi.

Mona Fandey seorang isteri yang sangat mencintai suaminya. Dia meluahkan perasaan hatinya dalam nota autograf yang aku ambil daripadanya dan kini tersimpan sebagai khazanah peribadi.

Bunyinya ringkas: “Saya ingin hidup dan mati bersama suamiku.”

Ya, dia mencapai keinginannya itu. Dia mati bersama-sama suaminya. Mereka berdua dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh di bawah jenayah berat undang-undang Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sepanjang pasangan itu dibicarakan, mahkamah penuh sesak. Pada satu ketika timbul kejadian mistik yang sehingga sekarang jadi persoalan tanpa jawapan. Pada suatu pagi kes mereka, tiba giliran doktor forensik yang bedah siasat anggota mayat mangsa yang mati dalam keadaan ngeri dikerat-kerat 18.

Hadirin di mahkamah senyap sunyi. Cerita doktor terasa ngeri, seram remang bulu roma. Tidak semena-mena kedengaran bunyi ‘keruk-keruk’. Para hadirin memandang sesama sendiri.

Dada akhbar esoknya memaparkan bermacam versi yang kebanyakannya mengatakan satu bunyi menakutkan. Tetapi Utusan Malaysia melaporkan berita eksklusif. Pada petang itu, aku memperoleh maklumat daripada sumber bahawa ia adalah bunyi itik-itik jawa Mona Fandey yang mati beragan (kelaparan) di Kampung Hulu Dong, Raub.

Seorang wartawan wanita pula yang menemui Mona Fandey di lokap untuk bertanya resolusi tahun baharu, pada malamnya dikatakan mengigau menghempas muka ke lantai simen tandas hinggakan pipi dan bibir berdarah.

Aku masih ingat, Mona Fandey memberi amaran kepada wartawan supaya tidak menokok tambah apa yang dikatakannya pada masa dia bersama-sama suami dan pembantunya, Juraimi Husin dibawa menaiki trak untuk balik ke Penjara Kajang. Hukuman mati sudah dijatuhkan.

“Saya nak senyum.” Itu kata-kata akhir Mona Fandey kepadaku apabila ditanya apa yang akan dibuatnya menghabiskan sisa-sisa waktu di penjara. Manakala Mohd. Affandi pula kata, dia hendak beramal ibadat dan Juraimi mengatakan dia hendak mengaji al-Quran.

Semasa itu, fikiranku terasa berat. Mona Fandey kata dia nak senyum? Kata-katanya mengandungi amaran pula supaya tidak tokok tambah. Sepanjang perjalanan balik ke ibu pejabat Utusan, aku tidak berhenti berfikir. Apabila sampai di pejabat, aku cerita kepada Ketua Pengarang ketika itu dan beberapa editor yang memberi pandangan berbeza mengenai kata-kata Mona Fandey.

Seorang editor berpandangan, ada sesuatu yang ‘tak kena’ pada wanita ini. Namun aku jawab, tidak. Kata-kata Mona Fandey dalam maknanya. Aku beri hujah bahawa simboliknya dia pasrah nasib yang telah menimpa dirinya.

Keesokannya, keluar tajuk besar Utusan Malaysia, “Saya nak senyum.” Waktu itu akhbar Utusan Malaysia laris macam goreng pisang panas. Apabila dikenangkan, aku pun rasa nak senyum. Kenapa? Akhbar berbahasa Cina turut mengambil kesempatan memaparkan gambar-gambar yang dikatakan seolah-olah mendewakan wanita ini.

Hal ini berlaku di peringkat dia hadir perbicaraan di mahkamah. Aku masih ingat bagaimana dia menonjolkan diri dengan keterampilan berpakaian kemas bermacam fesyen pada setiap hari. Jelas dia seorang wanita yang mempunyai cita rasa tinggi kepada kemewahan.

Cita-cita yang tidak kesampaian Mona Fandey untuk menjadi penyanyi. Dalam ceritanya kepada hakim, Mona Fandey mendakwa ketika pegawai polis menyoal siasat, dia minta untuk menyanyi.

Dalam filem Hindustan, katanya, orang tidak jemu menonton sebab hero bercinta menyanyi, putus cinta menyanyi, masak di dapur menyanyi dan mengiring orang mati pun menyanyi. Apa yang menariknya, Mona Fandey meminta izin hakim agar dibenarkan dia menyanyi sebuah lagu dalam mahkamah.

Hakim bijaksana tidak membenarkan. Jika dibenarkan pasti gempar mahkamah jadi pentas hiburan. Aku berdoa kepada Allah SWT untuk mengampunkan dosa semua hamba-Nya dan diberi taufik serta hidayah kepada yang masih terpesong.

Bahagia menjelma apabila kita dapat merasai keesaan-Nya. Kebahagiaan yang abadi. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada ketiga-ketiga hamba-Nya ini. KREDIT

Wanita Maut Selepas 'Selfie'

SEORANG wanita maut selepas berkongsi gambar 'selfie' semasa dalam perjalanan ke sebuah majlis di Amerika Syarikat.

Collette Moreno, 26, yang duduk di tempat duduk penumpang maut dalam insiden itu apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan kenderaan lain ketika pemandu cuba memotong sebuah lori.

Kereta yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan, lapor sebuah portal. 

Pemandu kereta tersebut, Ashley Theobald merupakan sahabat baik kepada mangsa. Ketika insiden itu, mereka dalam perjalanan ke Tasik Ozarks di Missouri dan memakai tali pinggang keledar.

Theobald, 26, berkata, dia cuba untuk memintas lori yang mengeluarkan banyak asap semasa kejadian. Moreno merupakan penghidap asma dan asap menyebabkan dia batuk.

"Saya cuba untuk memintas dan sebuah lagi lori datang dari arah depan," ujar Theobald.

Lapan minit sebelum kejadian, Moreno mengambil gambar 'selfie' bersama Theobald, yang menunjukkan mereka sedang menikmati perjalanan tersebut.

Peronda Lebuhraya Missouri berkata, Theobald boleh didakwa atas pemanduan cuai.