Friday 27 June 2014

Orang Asli Diberi Perhatian

JEMPOL 27 Jun – Keperluan masyarakat Orang Asli di Kampung Batu Peti dekat Rompin, dekat sini terus diberi perhatian apabila kerajaan akan melaksanakan projek pembinaan balai raya bagi penduduk kawasan berkenaan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru negeri, L. Manickam berkata, selain projek pembinaan balai raya kerajaan juga telah melaksanakan kerja-kerja membaiki jalan rosak serta bercadang membina jambatan gantung.

“Untuk balai raya ia adalah satu projek untuk menggantikan dewan lama di kampung ini yang sudah rosak. Projek bernilai RM117,000 mendapat peruntukan daripada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Balai raya ini kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada bulan hadapan. Apabila siap nanti ia akan memudahkan penduduk untuk mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Buat masa ini penduduk terpaksa mengadakan aktiviti di tanah lapang berhampiran kawasan tabika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Porak-E di Tabika Kemas Kampung Orang Asli Batu Peti, kelmarin.

Manickam berkata, pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan kemudahan jambatan gantung untuk kegunaan penduduk ke kebun mereka di seberang Sungai Muar dekat sini.
“Jambatan gantung itu hanya boleh digunakan untuk kenderaan ringan seperti motosikal dan basikal sahaja. Ketika ini penduduk terpaksa menempuh pekan Rompin untuk ke kebun dan mengambil masa lebih setengah jam.

“Sebelum ini penduduk membina sendiri jambatan gantung menggunakan bahan terbuang dan kini ia tidak lagi sesuai digunakan kerana membahayakan. Sekiranya projek jambatan ini dapat dibina maka penduduk boleh sampai ke kebun dalam jangka masa 10 minit,” katanya lagi.

Manickam berkata, pihaknya telah menaik taraf jalan raya di kampung tersebut dan sekali gus menyelesaikan masalah laluan yang berlubang. Sumber

0 comments:

Post a Comment