Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan

Pejabat Setiausaha NS - Tkt 4, Blok D, Wisma Negeri, 70503 Seremban, NSDK
Tel : 06-765 9900, Fax: 06-761 7386

Portal Rasmi Majlis Daerah Jempol

Ibu Pejabat, Pejabat Majlis Daerah Jempol, 72120 Bandar Seri Jempol, NSDK
Telefon : 06-4581233, Faks: 06-4585800

Laman Facebook Rasmi Jempol Di Hati

Memaparkan Info, Isu-Isu Semasa Dan Laman Komuniti Masyarakat Jempol
Jangan Lupa Singgah Dan 'Like' Laman Facebook Kami

Monday, 7 July 2014

Tiada Arahan Tukar MyKad Baharu Untuk Beli Petrol Subsidi

JPN Nafi Keluar Arahan Tukar MyKad Baharu Untuk Beli Petrol Subsidi

Putrajaya – Orang ramai dinasihati agar tidak mempercayai penyebaran maklumat palsu mengenai arahan penukaran MyKad baharu untuk melayakkan pembelian petrol dengan harga subsidi.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Sulaiman Keling berkata JPN menafikan ada mengeluarkan arahan berkenaan.

“Kenyataan palsu itu yang meminta orang ramai menukar MyKad baharu telah disebarkan kepada orang ramai sejak akhir-akhir ini menerusi khidmat pesanan ringkas (sms), aplikasi WhatsApp dan Facebook,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dan mendapatkan maklumat yang betul dengan menghubungi JPN di talian 03-80008000 atau melayari laman web JPN.

Sumber

Sunday, 6 July 2014

Kemalangan Maut Di Felda Palong. Hajat Bertunang Tak Tercapai

JEMPOL - Seorang kakitangan Felda Palong 10 di sini, tidak sempat melangsungkan pertunangannya Disember ini apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 22 , Jalan Bahau-Keratong, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Mohamad Abu Thalha Mohamad Ardani, 25, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dekat Felda Lui Barat, di sini.

Bapa mangsa, Mohamad Ardani Ngadimon, 55, berkata, anak keempat daripada 10 beradik itu pernah memaklumkan untuk bertunang selepas Hari Raya Aidilfitri, namun ditunda pada Disember.

Menurutnya, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan pelik ketika mereka sekeluarga berbuka puasa pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Sebelum arwah bergerak pulang ke Felda Lui Barat, isteri saya sempat menelefon arwah memaklumkan terdapat kemalangan di jalan Bahau - Keratong berhampiran lampu isyarat Bandar Seri Jempol.

“Isteri saya sempat berpesan agar memandu berhati-hati. Namun tidak lama kemudian, kami dimaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan dan maut di lokasi kejadian,” katanya yang bergegas ke tempat kejadian, petang kelmarin.

Menurutnya, jenazah anaknya itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Felda Lui Barat selepas selesai bedah siasat di Hospital Jempol, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu  sebuah lori, treler dan kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori dari arah Bahau terbabas ke bahu jalan semasa cuba naik ke atas jalan yang bertebing sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Ketika itu, datang sebuah treler dari arah bertentangan, namun sempat mengelak ke kanan tetapi bergesel di bahagian belakang sebelah kiri lori.

"Selepas itu, lori berkenaan bertembung pula dengan kereta dipandu mangsa yang berada di belakang treler," katanya.

Katanya, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika mengesahkan kejadian, semalam.

Difahamkan, pemandu lori dan treler tidak cedera. Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bandar Seri Jempol.

Tuesday, 1 July 2014

Khairy Jamaluddin Naik Pangkat

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron adalah antara lima orang yang dipakaikan pangkat Pegawai Kanan Sukarela dan Kehormat Askar Wataniah.      

Khairy dipakaikan pangkat sebagai Kolonel (kehormat) dalam pasukan sukarela Askar Wataniah manakala Idris pula memakai pangkat Brig Jen (Kehormat).      

Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Holdings Tan Sri Shahril Shamsuddin pula ditauliahkan pangkat Brig Jen (kehormat). Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Ketua Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar masing-masing dipakaikan pangkat Kolonel (kehormat).   

Majlis pemakaian pangkat itu disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Kementerian Pertahanan (Kementah) di sini, hari ini.
      
Kelima-lima mereka sebelum ini telah ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan pangkat masing-masing.
      
Bercakap kepada pemberita kemudian, Hishammuddin berkata, kementeriannya melihat pasukan Askar Wataniah sebagai benteng kedua pertahanan negara.
      
“Ia amat bermakna apabila pemimpin dan bakal pemimpin negara turut tampil ke hadapan untuk mempertahankan maruah dan keselamatan Negara. Saya juga berharap anak muda kita dapat menyertai Askar Wataniah dalam menyemarakkan pasukan itu,” katanya.
      
Beliau berkata sejak Askar Wataniah diwujudkan, pasukan itu telah menempuh pelbagai laluan berliku seiring dengan Angkatan Tetap dalam menghadapi ancaman luar.
      
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin juga akan melawat pasukan Batlion Malaysia (Malbatt) 850-1 yang sedang menjalankan tugas di Selatan Lebanon di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Pasukan Interim PBB di Lebanon (Unifil) pada pertengahan bulan ini.
      
“Lawatan pertama kali ini adalah bertujuan melihat keadaan dan keperluan pasukan keselamatan kita, selain memberi sokongan moral kepada anggota Malbatt yang berjauhan dengan keluarga terutamanya pada bulan Ramadan ini.
      
“Saya dijadualkan melawat lokasi penempatan pasukan Malbatt di Kem Marakah, Kem Tibnin dan Kem Simrock dan akan berbuka puasa bersama mereka,” katanya.
      
Pasukan Malbatt 850-1 ini disertai dengan kekuatan 850 orang dan turut disertai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) seramai 26 orang. - Bernama