Tuesday 8 July 2014

Beras FELDA Masuki Pasaran Awal September

KUALA LUMPUR 7 Julai - Beras jenama Belda keluaran Koperasi Majlis Belia Felda Malaysia Bhd. (MBFM) akan memasuki pasaran tempatan selewat-lewatnya awal September ini.

Pengerusinya, Anuar Abd. Manap berkata, pada peringkat awal koperasi akan membekalkan sebanyak 50,000 beg sebulan menerusi Koperasi 1Malaysia dan pasar raya D'Mart di tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Katanya, buat masa ini harga promosi yang ditawarkan ialah RM28 bagi satu beg beras seberat 10 kilogram.

"Kami yakin dengan penerimaan positif daripada warga peneroka, koperasi dapat mencapai sasaran membekalkan 500,000 beg beras dalam tempoh setahun dan jumlah ini dijangka meningkat sekiranya memasuki pasaran tempatan awal September ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Koperasi Majlis Belia Felda Malaysia Bhd. (MBFM) dan Agrotech Bestari Sdn. Bhd.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Agrotech Bestari Sdn. Bhd., Mohd. Kadim Jurimi.

Belda yang mengambil nama sempena Belia Felda diedarkan menerusi Felda Trading di 317 tanah rancangan Felda seluruh negara.

Produk tersebut merupakan beras berkualiti terbaik yang mengandungi lima peratus beras hancur.

Anuar yang juga Presiden MBFM berkata, pihaknya yakin dapat mempromosikan jenama Belda bukan sahaja dalam kalangan warga peneroka tetapi kepada seluruh lapisan masyarakat.

"Dari segi soal harga, kemungkinan dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran selepas dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Ogos ini sempena sambutan Hari Peneroka di Melaka," katanya. Sumber

0 comments:

Post a Comment