Wednesday 23 July 2014

#MH17 - AG Diarah Kaji Nahas

KUALA LUMPUR - Malaysia menyifatkan tindakan menembak jatuh pesawat komersial MH17 pada awal pagi 18 Julai lalu merupakan satu perbuatan zalim dan bertentangan serta melanggari prinsip dan undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan kejam itu telah melanggari Convention on International Civil Aviation yang telah diiktiraf oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Resolusi 1067 (1996).

"Dalam hal ini, PBB telah sebulat suara menerima pakai resolusi bagi mendesak puak pemisah memberi akses tanpa halangan ke tempat kejadian ke tempat kejadian di mana pesawat MH17 terhempas di Ukraine.

"Ia juga mendesak agar semua kegiatan ketenteraan termasuk oleh kumpulan bersenjata, dihentikan serta-merta di sekeliling kawasan itu dengan insiden berkenaan.

"Ia membolehkan penyiasatan antarabangsa dilakukan dengan selamat," katanya ketika membentangkan usul mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan itu telah mengarahkan Peguam Negara untuk mengkaji perkara itu dengan mendalam dan meneliti bagi memastikan sebarang tindakan yang boleh diambil oleh Malaysia.

Dalam pada itu, Najib turut meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap pihak yang tidak menghormati kawasan tragedi kemalangan itu sebagai kawasan larangan serta tidak mengikut atau mematuhi piawai amalan antarabangsa untuk memastikan bahan bukti tidak hilang atau tidak tercemar.

"Malaysia menggesa ICAO selaku penjaga keselamatan penerbangan awam sedunia untuk mengeluarkan resolusi yang mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas pesawat MH17," katanya.

Sehubungan itu, Malaysia mengalu-alukan siasatan oleh badan bebas antarabangsa mengenai nahas itu dan mendesak semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan siasatan itu dapat diselesaikan.

"Kita menuntut dan menyokong siasatan antarabangsa yang bebas dalam tragedi ini.

"Pihak bertanggungjawab terhadap berlakunya tragedi ini perlu dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment