Tuesday 23 September 2014

Pengkalan Kubor Popular Di Google

TUMPAT - Sebelum pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor diadakan, tidak ramai di kalangan pengguna internet negara ini mengetahui lokasi dan keadaan yang berlaku di kawasan berkenaan.

Namun selepas anggota Dun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser pada 20 Ogos lalu, sifat ingin tahu pengguna internet mulai meningkat untuk meneroka dan mencari perkembangan semasa hingga membuatkan graf pencarian dengan kata kunci 'Pengkalan Kubor' menggunakan enjin carian Google.com meningkat mendadak.

Mengikut rekod enjin carian tersebut, kata kunci "Pengkalan Kubor" mempunyai lebih 900,000 pautan dan keputusan sehingga berita ini ditulis.

Ia merangkumi pencarian rumah sewa, hotel, zon bebas cukai, lokasi kedai makan, jumlah pengundi dan pecahannya, maklumat calon parti yang bertanding dan berita semasa mengenai PRK kawasan itu.

Menurut rekod itu lagi, tahap bacaan pengguna internet di kalangan golongan pertengahan mencatat rekod paling tinggi iaitu 78 peratus.
  
Ini diikuti pengguna internet dari kalangan asas iaitu mencatat peratusan 14 peratus sementara pengguna internet dari kalangan profesional lapan peratus sahaja.

Carian kata kunci imej 'Mat Razi' atau nama penuh calon BN itu, Mat Razi Mat Ail pula mencatatkan ribuan gambar yang berkisar mengenai penamaan calon, lawatan rumah ke rumah serta kempen yang diadakan.

Turut menjumpai klik pengguna mencari laman sosial Facebook Mat Razi di https://www.facebook.com/razi.matail?fref=ts . Bagaimanapun aktiviti Facebook beliau dilihat tidak aktif.

Facebook calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim, https://www.facebook.com/wan.rosdi.9?fref=ts turut ditemui dan dilihat aktif sementara alamat Faceboook calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary tidak ditemui.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. - Bernama

0 comments:

Post a Comment